20
Mar

Aplikasi Geofizik dalam Penggerudian Telaga Tiub

Malaysia mempunyai kira-kira 63.5 bilion meter padu simpanan air bawah tanah (NAHRIM, 2016). Penggunaan air bawah tanah atau air tanah ini dapat membantu mengatasi masalah bekalan air bersih ketika kemarau atau pencemaran sungai mahupun ketika bencana banjir. Kualiti air tanah juga lebih bersih berbanding air permukaan kerana telah melalui penapis semulajadi seperti lapisan tanah, pasir dan batu.

Beberapa tahun kebelakangan ini, penggerudian dan pembinaan telaga tiub kian mendapat tempat terutamanya dalam kalangan pemain industri pengeluaran. Bagi kegunaan domestik, penggunaan telaga tiub telah lama digunakan oleh penduduk di pantai timur seperti di negeri Kelantan, walau bagaimanapun, kedalaman penggerudian adalah cetek dan di kawasan beraluvium.

Teknologi Geofizik

Teknologi dalam bidang geofizik membawa impak yang besar dalam penjelajahan air tanah ini. Penggerudian telaga tiub menjadi lebih efisien, menjimatkan masa dan lebih produktif dengan gabungan kaedah geofizik khasnya dan kaedah geologi yang lain umumnya.

Kaedah keberintangan elektrik (electrical resistivity) merupakan kaedah geofizik yang berkesan dalam penjelajahan air tanah. Mekanismenya yang berkait rapat dengan pengaliran arus elektrik dalam Bumi menjadikannya kaedah yang sesuai dalam penjelajahan air bawah tanah. Arus elektrik mengalir di dalam Bumi pada kedalaman yang cetek melalui dua kaedah iaitu konduksi elektronik dan konduksi elektrolit. Bagi kaedah konduksi elektrolit, arus elektrik mengalir melalui pergerakan ion didalam air tanah (air bawah tanah).

Melalui data atau keputusan daripada survei keberintangan elektrik ini, kedudukan zon-zon air tanah dapat ditentukan. Ini dapat membantu pasukan penggerudian untuk membuat keputusan dalam menentukan lokasi terbaik untuk penggerudian telaga tiub. Berbanding kaedah konvensional yang mana penggerudian ditentukan berdasarkan pengalaman, “nasib”, mahupun ramalan; kaedah keberintangan elektrik ini lebih efektif.

Justeru, pendedahan dan pendidikan yang berterusan tentang manfaat kaedah-kaedah geofizik sedikit sebanyak dapat membantu menambahbaik kehidupan seharian kita.