rejahan air masin
09
Apr

Rejahan Air Masin dalam Akuifer Air Tanah

Air tanah masin boleh membawa kepada masalah bekalan air tanah yang serius terutamanya ketika musim kemarau. Penggerudian atau pembinaan telaga tiub di kawasan berdekatan dengan pantai mempunyai potensi besar untuk mendapatkan air tanah masin. Air tanah masin ini berpunca daripada:

  • Rejahan air laut di kawasan pantai
  • Kubah garam
  • Peningkatan kepekatan mineral dalam air tanah semasa kemarau
  • Pencemaran oleh manusia (bahan buangan, baja)

Apabila akuifer di kawasan pantai mempunyai sentuhan hidraulik dengan air laut, rejahan air masin boleh berlaku disebabkan oleh ketumpatan air laut yang lebih tinggi daripada air tawar. Secara umumnya, air tawar dan air masin mempunyai perlapisan yang agak jelas dengan air masin mendasari air tawar. Lebih menarik lagi, lembangan air tawar boleh membentuk kekanta di kawasan kepulauan kecil.

Akuifer ialah lapisan batu telap mengandungi air tanah atau bahan peroi (batu kelikir, pasir atau lumpur) yang air boleh diambil daripadanya dengan menggali perigi.

kekanta air tawar
Kekanta air tawar di kepulauan kecil

Rejahan air masin berlaku apabila perlapisan air tawar dan air masin yang seimbang diganggu oleh pengepaman air tanah yang tinggi (rajah dibawah).

perlapisan air tawar dan air masin
Perlapisan air tawar dan air masin yang seimbang di kawasan pantai (Keller 1988)
rejahan air masin
Perlapisan air tawar dan air masin yang telah diganggu di kawasan pantai (Keller 1988)

Dalam eksplorasi geofizik, rejahan air masin ini boleh dipetakan menggunakan kaedah keberintangan elektrik. Kepekatan garam yang tinggi membawa kepada bacaan keberintangan yang sangat rendah (< 1 ohm.m).

Rujukan:
Keller EA (1988) Environmental Geology. Merrill Publishing Company, Toronto,London, Melbourne