19
Sep

Kenali Apa Itu Mendapan Tanah

Mendapan tanah (ground settlement) didefinasikan sebagai pergerakan tanah secara menegak yang disebabkan oleh beban yang memampatkan tanah dibawahnya atau pengantian tanah. Amblesan tanah (ground subsidence) pula merujuk kepada penenggelaman tanah yang berkemungkinan tidak berkaitan dengan perubahan tegasan (stress) pada tanah. Amblesan tanah boleh berpunca daripada sifat semulajadi tanah seperti lubang benam, rongga atau disebabkan aktiviti manusia seperti perlombongan.

Mendapan tanah boleh menyebabkan bangunan atau rumah teralih, condong, melendut, terherot, meregang, atau kesemuanya sekali. Mendapan tanah ini boleh terjadi secara spontan atau mengambil masa beberapa tahun untuk berlaku, bergantung kepada keadaan lapisan tanah dan penyebab kepada mendapan tersebut.

 

Jenis – jenis Mendapan Tanah

1) Mendapan seragam

Pemendapan jenis ini berlaku apabila asas atau tapak bangunan mendap secara sekata disepanjang tapak bangunan tersebut. Mendapan condong merupakan kesan yang berkaitan dengan mendapan ini yang menyebabkan bangunan condong keseluruhannya.

mendapan tanah secara seragam dan condong
Mendapan seragam (kiri) dan mendapan condong (kanan)

 

2) Mendapan berbeza

Bagi kes mendapan seperti ini, hanya sebahagian daripada tapak bangunan yang terkesan dengan kegagalan tanah; atau sebahagian daripada struktur tapak bangunan yang terkesan lebih daripada bahagian yang lain. Pemendapan jenis ini mendatangkan kerosakan yang lebih teruk berbanding pemendapan seragam atau condong.

Mendapan tanah secara mendapan berbeza
Mendapan berbeza yang menyebabkan sisi tapak bangunan mendap dikenali sebagai meleding (kiri). Manakala mendapan yang menyebabkan tengah bangunan mendap lebih dari sisinya dikenali sebagai kendur (kanan)

 

Mendapan berbeza menyebabkan kerosakan
Mendapan berbeza boleh menyebabkan perubahan aras tapak bangunan secara mendadak dan menyebabkan kerosakan bangunan dengan lebih teruk.