zon retakan
04
Apr

Zon Retakan dalam Eksplorasi Air Tanah

Air tanah (groundwater) boleh dijumpai dalam ruang – ruang liang batuan sedimen dan lapisan terluluhawa yang terkonsolidat dan tidak terkonsolidat, dalam kekar – kekar (joints) dan fisur – fisur (fissures) batuan keras, dalam zon – zon retakan (fractured zones) dan sesar (fault) and gua kars (batu kapur).

Peranan Penting Zon Retakan & Gua Kars

Zon retakan dan gua kars mempunyai peranan penting dalam bekalan air tanah. Zon – zon ini boleh dikatakan sebagai konduktor hidraulik (hydraulic conductor) dan kadang – kalanya bertindak sebagai penyekat hidraulik (hydraulic barrier) yang menghalang air mengalir melaluinya.

Gua kars dan volkanik juga merupakan akuifer yang penting. Gua ini terbentuk akibat daripada pelarutan batuan berkarbonat seperti batu kapur dan dolomit. Gua dan saliran kars boleh dijumpai sepanjang retakan tektonik atau sempadan perlapisan.

Porositi retakan ini dipanggil porositi sekunder. Batuan boleh mempunyai fisur – fisur yang kecil (akibat daripada pengecutan semasa penyejukan) atau retakan yang besar (akibat daripada pergerakan tektonik sepanjang zon sesar).

zon retakan dan fisur-fisur
a) Fisur – fisur dan b) retakan – retakan dalam batuan (diolah daripada Schneider 1988)

Eksplorasi Geofizikal & Hidrogeologi

Zon retakan merupakan target yang istimewa dalam penjelajahan geofizikal dan hidrogeologi. Secara umumnya, ciri – ciri hidraulik dan petrofizikal zon – zon ini adalah sangat berbeza daripada batuan hos. Kelebaran retakan kebanyakannya adalah sempit.

Dalam penyiasatan geofizik seperti survei keberintangan (resistivity survey), zon retakan dan fisur – fisur yang diisi oleh air tanah secara umumnya mempunyai nilai keberintangan yang rendah berbanding nilai keberintangan batuan hos. Walau bagaimanapun, dalam sesetengah kes, terdapat juga zon retakan yang kering mempunyai nilai keberintangan rendah. Hal ini akibat daripada lempung (clay) dan lom (loam) di dalam fisur hasil daripada luluhawa batuan.